Dalam ucapan beliau, YBhg. Tan Sri menekankan mengenai perkara-perkara penting yang perlu diberi perhatian oleh pegawai-pegawai pengurus dalam membuat persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 nanti. Antara perkara yang ditekankan oleh beliau termasuklah hari penamaan calon, tempoh berkempen, persiapan menjelang hari pengundian, tempoh pengiraan undi dan proses pengishtiharaan keputusan pilihan raya.
Mengenai Hari Penamaan Calon, para penyokong parti-parti yang bertanding, diingatkan supaya tidak perlu datang beramai-ramai untuk mengiringi calon. Ini disebabkan untuk PRU Ke-13 ini, tidak ada lagi tempoh bantahan dilaksanakan. Dengan ketiadaan tempoh bantahan itu, maka proses penamaan calon akan menjadi lebih cepat.
Semasa tempoh berkempen pula, parti-parti yang bertanding dinasihatkan agar mematuhi undang-undang yang ditetapkan. Semasa tempoh berkempen, Pasukan Pemantau Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) akan memantau proses berkempen.
Pada hari pengundian, penyokong-penyokong parti dinasihatkan tidak mengganggu pengundi-pengundi yang datang mengundi. Aktiviti merayu dan meraih undi tidak dibenarkan. Bagi SPR, pengundi-pengundi adalah tetamu SPR dan seharusnya diberi ruang untuk mereka melaksanakan tanggungjawab dengan aman tanpa diganggu.
Pengerusi SPR juga menyentuh mengenai proses pengiraan undi dimana ianya akan dibuat selepas jam 5.00 petang dan proses pengiraan akan dibuat di saluran. Semasa proses pengiraan undi, wakil-wakil calon dibenarkan masuk untuk memerhati proses pengiraan. Semasa proses pengiraan undi, bagi pusat-pusat mengundi yang ditutup awal seperti di Sarawak dan di beberapa negeri di Semenanjung, pengiraan undi akan hanya dibuat selepas jam 4.00 petang. Tujuannya bagi mengelakkan berlaku penyebaran keputusan undi di kalangan wakil-wakil calon.
Selepas selesai proses pengiran tersebut, kemenangan seseorang calon akan diumumkan oleh Pegawai Pengurus.





